warna1   warna2   warna3   warna4    
A- A A+

Slot Kerohanian

Tag SPLWK: <i splwpk-tag="splwpk-tag></i>

User Rating: 1 / 5

Star ActiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
Hukuman Riba

Imam An-Nawawi rh berkata : “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman Riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi” (Rujuk Al-Majmu’, 9/391 )

Adalah menjadi fenomena yang amat malang bagi umat Islam, apabila mereka amat leka dan tidak ambil endah tentang besarnya dosa Riba. Justeru di sini, saya sertakan beberapa nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan perihal besarnya dosa riba.

1. Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT :

Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya” (Al-Baqarah : 278 )

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya.

Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata : 
Ertinya : “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT” ( Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula :

“Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : “Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” ( Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )

Berkata Imam Qatadah rh :

“ Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada” ( at-Tabari, 3/72 )
Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman :

Ertinya : “Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah” ( Al-Baqarah : 276 )

2. Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang dan habisnya harta dari pemilik dalam bentuk yang tidak berfaedah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), antaranya juga harta tadi akan menjadi sebab ringanya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harat yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul ( Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982 , 1/224) . Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas’ud r.a :-
Ertinya : “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )
Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a : Ertinya : “Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” ( Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)
3. Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “ Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.. ” (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

4. Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

Nabi SAW bersabda :

Ertinya : “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” ( Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 )

5. Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadith nabi SAW :

Ertinya : “Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) “ ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersambung…
Sumber: zaharuddin.net

Tag SPLWK: <i splwpk-tag="splwpk-tag></i>

User Rating: 1 / 5

Star ActiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive

SERULAH MANUSIA BERSOLAT

oleh Ustaz A. Ubaidillah bin Alias

SERINGKALI apabila kita mahu keluar membeli-belah, waktunya berdekatan dengan waktu solat. Akhirnya menyebabkan kita terlepas solat berjemaah di masjid atau terlewat menunaikan solat tersebut secara bersendirian di rumah. Kita sering memilih waktu untuk keluar bersiar-siar tanpa melihat terlebih dahulu waktu solat yang sudah hampir. Lalu kita buat-buat tidak tahu, atau sengaja membiarkan waktu itu berlalu.

Bagi remaja yang menonton bola, ada yang keluar ke perlawanan dan perlu memasuki stadium lebih awal. Ia akan menyukarkan proses untuk bersolat apabila berada di dalam stadium. Namun, bagi mereka yang mendirikan solat tidak semuanya sanggup mengajak rakan-rakan mereka untuk turut serta mengerjakan solat. Barangkali mereka berasa malu. Barangkali mereka merasakan ajakan itu hanya membazir atau membuang masa.

Sedangkan Allah SWT sendiri menyuruh kita mengajak manusia mengerjakan solat. Sebagaimana mafhum dalam satu ayat “Mintalah pertolongan dengan kesabaran dan bersolat”. Allah sentiasa menyeru manusia agar bersolat. Tetapi kita yang mengaku muslim dan beragama islam mudah merasa malu untuk bertutur hal-hal berkaitan solat.

Barangkali kita tidak menyedari bahawa pertuturan kita selalunya banyak yang sia-sia. Banyak yang tiada kaitan dengan kebajikan mahupun pahala. Apatah lagi menyeru orang lain berbuat kebajikan. Kerana ini adalah tabiat manusia biasa yang punya nafsu, apatah lagi syaitan yang sering membuatkan kita lalai dan jauh dari melaksanakan tuntutan beragama.

Saya ingin memberitahu suatu kisah benar. Yang mana terdapat seorang lelaki berumur enam puluh tahun, akan tetapi dia masih giat dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Lalu seseorang bertanya kepadanya apakah rahsia kekuatan jiwanya sehingga masih berdakwah walaupun sudah mencecah usia 60an.

Dia menjawab, “Saudaraku aku mempunyai satu kisah.”

“Kisah apakah itu?” Jawab pemuda itu.

Dia berkata, “Sejak tuga puluh lima tahun yang lalu kami bertiga bersama teman-teman bekerja di bidang galian minyak, saat itu kami sangat meremehkan perkara solat kecuali salah seorang dari kami, dialah orang yang paling rajin menjaga solatnya.

Lima belas tahun yang lalu teman yang paling rajin ini meninggal dunia (Semoga Allah merahmatinya), tujuh tahun kemudian aku melihatnya di dalam mimpi, aku bertanya kepadanya, “Apa yang kamu dapatkan?” Dia menjawab “Ternyata kesalahanku lebih banyak daripada kebaikanku.”

Aku katakan, “Jadi kamu masuk neraka?”

Dia menjawab, “Tidak.”

Aku bertanya, “Kenapa begitu? Padahal kesalahanmu lebih banyak daripada kebaikanmu?”

Dia menjawab, “Apakah kamu masih ingat saat aku mendatangimu saat kamu dan si fulan sedang bermain ping-pong, lalu aku mengajak kamu berdua untuk menunaikan solat. Akan tetapi kamu tidak mahu. Kemudian aku berusaha menutup meja ping-pong lalu menarik kamu ke masjid, selanjutnya kita solat berjemaah di sana?”

Aku jawab, “Ya, aku ingat.”

Dia berkata, “Demi Allah, aku menemukan kejadian tersebut dalam catatan perbuatanku, dengan kejadian itu kebaikanku menjadi lebih berat (dalam timbangan) daripada kesalahanku sehingga aku dimasukkan ke dalam syurga.”

Setelah kejadian itu, pakcik tua itu mulai rajin menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, giat melakukannya demi mengharap rahmat Allah Ta’ala agar dia berkenan mempertemukan dirinya dan temannya tersebut di syurga yang indah.”

Saudaraku, betapa banyak ucapan yang boleh menghantar seseorang ke dalam syurga, dan di sisi lain banyak ucapan yang dapat menghantarkan seseorang ke dalam neraka Jahannam. Saudaraku, apakah kita telah melakukan amar makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan)?

Kenapa kita tidak mencontohi rasul kita Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan segala kepahitan yang dia dapatkan dalam menyebarkan agama ini, kenapa kita tidak meniru para salafus soleh dalam melakukan amar makruf nahi mungkar?

Di manakah peranan kita dalam melakukan kewajiban ini? Mereka telah mengorbankan jiwanya untuk agama ini, menghabiskan masanya untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?

Dalam kisah ini memperlihatkan sebuah tauladan yang sangat baik. Ia menzahirkan sifat-sifat mahmudah yang perlu dipakai dalam jiwa seorang pendakwah. Jika seorang muslim memiliki sifat agung ini pasti dakwahnya akan berhasil. Antaranya ialah sifat kesabaran.

Saudaraku, sudahkah kita menyeru kepada kebaikan? Sudahkah kita mencegah dari kemungkaran? Kemudian kita bersabar atas risiko yang ditimbulkan, sebagaimana bersabarnya Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, para sahabat dan para salafus soleh?

Sebuah pertanyaan meunggu jawapan jujur dari hati kita masing-masing.

Saudaraku, tidakkah kamu mahu termasuk golongan umat yang terbaik diutuskan kepada manusia?

“kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali ‘Imran : Ayat 110)

Allah berada di balik setiap kehendak dan Dia-lah yang memberikan petunjuk kepada jalan kebenaran.

Tag SPLWK: <i splwpk-tag="splwpk-tag></i>

User Rating: 2 / 5

Star ActiveStar ActiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive

SALAH GUNA

Oleh Ustaz A. Ubaidillah Alias

Assalamualaikum wrt wbt…

Dato, Datin, Tuan, Puan, dan seluruh rakan PKINK sekalian…

Kali ini saya ingin menulis dengan nada berjenaka…santai…dan membawa makna tersurat. Harap difahami dengan tenang oleh sesiapa sahaja. Ini cerita tentang kita, sebagai seorang manusia. Semuanya terkena, termasuk diri saya.

Manusia…apabila merasakan dirinya sudah cukup pandai dan bijak, dia mula memanipulasikan orang mahupun kuasanya untuk kepentingan peribadi. Tidak kira ketua, pekerja biasa atau orang kebanyakan, kadang-kadang terjerat dengan ketamakan haloba. Akhirnya mendorong dia untuk menyalah gunakan bakat mahupun kelebihan yang dikurniakan tuhan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarak.

Ada yang salah guna panca indera dan anggota badan…

Ada yang salah guna kemajuan dan kemudahan…

Ada yang salah guna bakat dan kemahiran…

Ada yang salah guna kuasa dan jawatan…

Inilah manusia, mudah sekali terjebak dengan penyalah gunaan hal-hal tersebut. Tidak perlu menuding kepada orang lain, bahkan penulis juga terdedah dengan penyalah gunaan sesuatu perkara. Dunia ini sungguh menarik dan menipu daya bukan? Jangan kita terkena tipu daya itu sudah. Na’uzubillah!

Ada orang yang pandai berbicara, bijaksana akalnya. Apabila digunakan dengan cara yang betul, maka dia berhasil menjadi lawyer ataupun peguam. Menjadi pembela orang-orang yang dipersalahkan. Dengan lidahnya, dia menyelamatkan orang daripada hukuman-hukuman yang tidak sepatutnya mereka tanggung. Dan sebaliknya, ada juga manusia yang bijaksana lidahnya namun digunakan untuk tujuan putar alam. Bercakap kononnya pandai, tetapi berbelit-belit lidahnya bagaikan lidah ular.

Ada yang hobinya berbohong, suka datang kerja lambat. Apabila di tanya oleh majikan “Kamu sekarang di mana?” lalu dijawabnya “On the Way” sedangkan ketika itu dia sedang bersarapan di rumah. On the way? Itu namanya putar alam! Dan orang-orang yang putar alam itu adalah salah satu daripada sifat munafiq.

Ada orang yang dikurnikan Allah wajah yang cantik, tubuh yang montok dan ukuran badan yang tampan. Lalu dihiasi wajahnya dengan bedak berspektrum warna-warna pelangi, kononnya “menambah seri” atau sebenarnya “Mahu menjamu mata orang ajnabi?”. Tubuhnya, dilitupi dengan pakaian yang ketat-ketat, tudung yang kecil-kecil, baju yang cukup-cukup kain, bila ditanya “Kenapa pakai pakaian sebegitu rupa?” dijawabnya “Mahu memperlihatkan keindahan ciptaan tuhan”. Waduh! Jawapan yang cukup mantap, adakah itu yang sebenarnya atau sedang mempersiapkan bekalan menambah kemurkaan Allah SWT?

Ada juga yang diberi kemudahan telefon dan juga kenderaan, lalu digunakan untuk urusan-urusan peribadi yang bersifat sukaria. Mentang-mentang bil telefon pihak pejabat yang bayar. Atau taliannya percuma sahaja, maka sungguh rajin dia menggunakan kemudahan itu untuk berbual kosong dan bercanda. Apabila ditanya “Membazir duit syarikatkah?” dijawabnya “Bukan membazir, sebaliknya sedang menghubungkan silaturrahim”. Alangkah sopannya dia menyalah-gunakan kemudahan itu, bahkan ditambahkan lagi dengan acara bercerita tentang hal-hal sulit. Jadilah sesi gosip dan mengumpat. Astaghfirullah!

Ada orang yang suka bekerja di luar, membuat hal di sana dan di sini. Kalau boleh mahu kursus di tempat jauh-jauh. Mahu naik kapal terbang dan mahu guna kenderaan awam. Ada pula yang kerja hari minggu, semata-mata mahu membuat tuntutan. Bekerja sekejap, tuntutan sampai separuh ribu? Bila ditanya “Kenapa claim banyak sangat?” dijawabnya “Semua barang sudah mahal bos”. Baguslah, kalau semua jadi cerdik dan bijak sebegini. Cukup masa, syarikat boleh gulung tikar.

Ada juga yang berkuasa, tidak kira kuasa kecil atau kuasa besar. Menggunakan wang dengan sewenang-wenangnya. Berbelanja itu dan ini, membeli kereta dan barang-barang mahal. Memberi bonus dan elaun lebih, sedangkan hutang tidak dibayar. Berbelanja untuk bermewah-mewah, yang wajib tidak diselesaikan. Apabila ditanya “Kenapa begitu dermawan sampai beri bonus berganda?” dijawabnya “Saja bagi insentif lebih, sebab kasihan tengok pekerja bekerja dengan sungguh-sungguh”. Sungguh berhemah dia berbelanja untuk kakitangan sekalipun hutang semakin terbeban. Silap haribulan, semua orang akan kehilangan kerja apabila syarikat sudah lingkup. La haula wala quwwata illa bilah!

Tetapi, tidak semuanya begitu. Ada yang sentiasa memberi walaupun tidak diminta. Ada yang sentiasa menyumbang walaupun tiada siapapun tahu. Ada yang mengutamakan yang wajib daripada yang harus. Dan mereka adalah orang-orang yang memahami dosa dan pahala. Dan tidak ramai orang yang benar-benar mengerti soal dosa dan pahala.

Ramai yang ‘bercerita’ dan ramai yang ‘berjenaka’ apabila disebut syurga dan neraka. Tidak ramai yang ‘percaya’ dan ‘yakin’ dengan kebenaran hari qiamat. Sebab apa? Sebab ramai yang tidak menjauhi dosa dan mengejar pahala. Seolah-olah dosa dan pahala itu tiada harga di sisi mereka.

Cuma, jangan pernah kita lupa. Apabila maut sudah menjemput, kita ditanam dan kemudian dibangkitkan. Ketika itu, tiada guna lagi teguran, nasihat atau penyesalan. Jika mahu ditegur, tegurlah di dunia. Jika mahu dinasihati, nasihatilah di dunia. Jika mahu diperbaiki, baikilah di dunia. Jangan tangguh-tangguh dan jangan sampai terlambat. Kelak, apabila masing-masing berjalan menuju ke syurga…risau, kita dihumban ke neraka. Na’uzubillah!

Tag SPLWK: <i splwpk-tag="splwpk-tag></i>

User Rating: 3 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar InactiveStar Inactive

(Diterbitkan dalam buletin PKINK edisi Januari 2012)

TERAJUI BIROKRASI DENGAN BUDAYA ISLAM

Oleh Ustaz A. Ubaidillah bin Alias

DALAM sebuah buku berjudul Leaders Talk Leadership, disebutkan bahawa ada lima cabaran besar yang perlu ditangani oleh seorang majikan dalam membentuk satu pasukan yang berjaya. Iaitu :

  1. 1.Mengurangkan karenah birokrasi.
  2. 2.Mendekatkan pengguna atau pelanggan dengan pihak dalaman sesebuah syarikat.
  3. 3.Mempastikan pihak pengurusan sentiasa mendengar dan menilai sebarang aduan daripada pekerja barisan hadapan.
  4. 4.Memberi lebih perhatian kepada pekerja yang mempunyai idea di luar kotak.
  5. 5.Memberi dorongan kepada golongan yang suka membuat penemuan baru dan berinovasi dengan cara memberi ganjaran yang fleksibel.

Kelima-lima perkara di atas bukan terkena atas pundak majikan semata-mata, malah ianya berkait secara langsung dengan setiap pekerja dimana-mana posisi atau agensi. Kelima-lima perkara tersebut merupakan satu cabaran umum kepada mana-mana agensi kerajaan atau swasta dalam membina sebuah pasukan yang kukuh dan berdaya saing.

Kita mengerti bahawa keseluruhan sistem dan operasi bergerak menerusi tangan dan jiwa manusia. Bukan bergantung kepada mesin dan komputer. Untuk mengatasi masalah birokrasi, mendekatkan diri dengan pengguna, mendengar aduan, memberi perhatian, membalas jasa baik dengan ganjaran. Semuanya memerlukan budaya penyucian hati dan jiwa yang berterusan di semua peringkat. Jika kita mampu mengharmonikan kompetensi dan karismatik anggota dalam satu budaya islami, maka organisasi itu akan menjadi perkasa.

Pepatah menyebut “Untuk memperbaiki dunia, maka perbaiki manusia yang berada di dalamnya. Untuk memperbaiki manusia, perbaiki hati yang berada di dalam diri nya.”

Untuk memperbaiki hati, islam meletakkan taqwa sebagai matlamat utama kehidupan. Kerana taqwa akan merubah hati manusia, sekaligus merubah dunia yang didiami oleh mereka. Saya percaya setiap agensi atau organisasi sedang memikirkan cara untuk memperkasa kumpulan mereka dalam suasana krisis pecah amanah, krisis ekonomi dan jenayah kian meningkat dari masa ke semasa. Penulis berpandangan bahawa ia hanya mampu dilakukan dalam tiga cara.

PEMBELARAN ILMU BERTERUSAN

Sabda nabi SAW “Ilmu adalah imam kepada amalan (kerja) dan setiap amalan perlu menuruti ilmu”. Dunia ini diurustadbir oleh manusia. Mesin juga tidak akan mampu berjalan sendiri jika manusia tidak memprogramkan ia untuk satu-satu objektif. Untuk mempastikan manusia membuat sesuatu objektif yang betul, mereka perlu dipandu dengan ilmu yang betul. Di sinilah Islam memandu jiwa manusia agar memperolehi taqwa, yang memberi kekuatan untuk manusia memahami dosa dan pahala. Maka, setiap keputusan akan memimpinnya kepada kejayaan. Tanpa ilmu, mereka akan kesesatan dalam gelombang dunia.

Pepatah menyebut “When we stop learning, we stop leading”

Maka, perkara yang perlu dibiasakan ialah pesanan daripada al-Quran dan hadis. Setiap organisasi perlu mewujudkan satu pembudayaan ilmu di syarikat atau kumpulan masing-masing. Ini bagi mempastikan kesedaran jiwa terhadap taqwa bertambah dari masa ke semasa. Malah, ia perlu dilazimkan demi memperingatkan mereka yang terlalai atau terlupa.

Pengulangan pesanan perlu dibuat secara harian, mingguan dan bulanan. Pepatah menyebut “Repeatition is a mother of knowledge” Apabila adanya pengulangan dan kelaziman dalam memberi peringatan, maka manusia akan berjaya dibentuk. Firman Allah :

Maksudnya : Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman. (Surah az-Dzariyat ayat 55)

BERJEMAAH SECARA MENYELURUH

Jangan sesekali proses tazkirah ini dilakukan untuk individu tertentu sahaja, malah ia perlu dilakukan secara berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak akan memberi impak yang besar jika dilakukan secara kelompok kecil. Jangan sekadar diwajibkan golongan bawahan menghadiri kuliah, sedangkan golongan atasan dibiarkan. Ilmu adalah untuk semua dan bukan untuk segelintir. Majlis ilmu adalah taman syurga, melazimi taman syurga akan menjadikan hati seluruhnya saling mencintai dan teguh silaturrahim.

Pepatah menyebut “If you want to go quickly, go alone. If you want to far, go together”

Proses ini memakan masa, tetapi ia akan menjadi sangat berkesan. Anda mungkin boleh membuat perubahan yang drastik, tetapi kesannya juga akan hilang secara drastik. Maka, pembudayaan ilmu dan sikap berjemaah ini perlu dipupuk beransur-ansur menerusi dua cara :

Pertama, melazimkan sembahyang berjamaah dalam kalangan pekerjanya. Dengan mewujudkan surau di ruang pejabat dan mewajibkan anggota hadir berjemaah.

Kedua, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan stafnya, dengan mewujudkan kuliah secara mingguan dan bulanan. Tanpa dikecualikan seorangpun daripada pangkat tertinggi hingga ke bawah.

Alhamdulillah, penulis melihat pihak PKINK telah berjaya mewujudkan suasana pemupukan ini. Kesan positifnya juga sudah mampu dilihat, tinggal hanya untuk mengekalkan budaya ini secara berterusan. Dengan kekalnya budaya ini, masalah pecah amanah, krisis ekonomi samaada untung rugi, kadar jenayah akan dapat disusutkan jumlahnya dari hari ke hari.

Sebagai kesimpulan, karenah birokrasi dan semua isu yang disebutkan dalam mukaddimah esei ini merupakan masalah yang menjadi polemik pada semua organisasi atau jabatan. Maka, langkah yang penulis sebutkan tadi sebagai satu cadangan penyelesaian bagi pengurus atau majikan yang beragama Islam. Sebolehnya perubahan ini dimulakan oleh pengurusan tertinggi dan diikuti oleh orang bawahan. Jangan pula menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Semoga perkongsian ini memberikan kebaikan, insya Allah.

PERBADANAN KEMAJUAN IKTISAD NEGERI KELANTAN

Tingkat 4-11, Bangunan PKINK, Jalan Tengku Maharani, Peti Surat 142, 15710, Kota Bharu Kelantan.

Tel : 09-7414141
Fax : 09-7414140
Web: www.pkink.gov.my
Email: [email protected]
Borang Maklumbalas: Klik Sini

Kaunter Pelawat

Today796
Yesterday1214
This week4754
This month33085
Total1278398

2024-11-28

Pautan Luar

Jata Negara 50x50           mampu 50x50           JPA 50x50
 Jata Kelantan 50x50      mdec 50x50     spa 50x50
 spr 50x50      hrmis 50x50      

Menu Offcanvas