warna1   warna2   warna3   warna4    
A- A A+

Slot Kerohanian

Salah Guna

Tag SPLWK: <i splwpk-tag="splwpk-tag></i>

User Rating: 2 / 5

Star ActiveStar ActiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

SALAH GUNA

Oleh Ustaz A. Ubaidillah Alias

Assalamualaikum wrt wbt…

Dato, Datin, Tuan, Puan, dan seluruh rakan PKINK sekalian…

Kali ini saya ingin menulis dengan nada berjenaka…santai…dan membawa makna tersurat. Harap difahami dengan tenang oleh sesiapa sahaja. Ini cerita tentang kita, sebagai seorang manusia. Semuanya terkena, termasuk diri saya.

Manusia…apabila merasakan dirinya sudah cukup pandai dan bijak, dia mula memanipulasikan orang mahupun kuasanya untuk kepentingan peribadi. Tidak kira ketua, pekerja biasa atau orang kebanyakan, kadang-kadang terjerat dengan ketamakan haloba. Akhirnya mendorong dia untuk menyalah gunakan bakat mahupun kelebihan yang dikurniakan tuhan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarak.

Ada yang salah guna panca indera dan anggota badan…

Ada yang salah guna kemajuan dan kemudahan…

Ada yang salah guna bakat dan kemahiran…

Ada yang salah guna kuasa dan jawatan…

Inilah manusia, mudah sekali terjebak dengan penyalah gunaan hal-hal tersebut. Tidak perlu menuding kepada orang lain, bahkan penulis juga terdedah dengan penyalah gunaan sesuatu perkara. Dunia ini sungguh menarik dan menipu daya bukan? Jangan kita terkena tipu daya itu sudah. Na’uzubillah!

Ada orang yang pandai berbicara, bijaksana akalnya. Apabila digunakan dengan cara yang betul, maka dia berhasil menjadi lawyer ataupun peguam. Menjadi pembela orang-orang yang dipersalahkan. Dengan lidahnya, dia menyelamatkan orang daripada hukuman-hukuman yang tidak sepatutnya mereka tanggung. Dan sebaliknya, ada juga manusia yang bijaksana lidahnya namun digunakan untuk tujuan putar alam. Bercakap kononnya pandai, tetapi berbelit-belit lidahnya bagaikan lidah ular.

Ada yang hobinya berbohong, suka datang kerja lambat. Apabila di tanya oleh majikan “Kamu sekarang di mana?” lalu dijawabnya “On the Way” sedangkan ketika itu dia sedang bersarapan di rumah. On the way? Itu namanya putar alam! Dan orang-orang yang putar alam itu adalah salah satu daripada sifat munafiq.

Ada orang yang dikurnikan Allah wajah yang cantik, tubuh yang montok dan ukuran badan yang tampan. Lalu dihiasi wajahnya dengan bedak berspektrum warna-warna pelangi, kononnya “menambah seri” atau sebenarnya “Mahu menjamu mata orang ajnabi?”. Tubuhnya, dilitupi dengan pakaian yang ketat-ketat, tudung yang kecil-kecil, baju yang cukup-cukup kain, bila ditanya “Kenapa pakai pakaian sebegitu rupa?” dijawabnya “Mahu memperlihatkan keindahan ciptaan tuhan”. Waduh! Jawapan yang cukup mantap, adakah itu yang sebenarnya atau sedang mempersiapkan bekalan menambah kemurkaan Allah SWT?

Ada juga yang diberi kemudahan telefon dan juga kenderaan, lalu digunakan untuk urusan-urusan peribadi yang bersifat sukaria. Mentang-mentang bil telefon pihak pejabat yang bayar. Atau taliannya percuma sahaja, maka sungguh rajin dia menggunakan kemudahan itu untuk berbual kosong dan bercanda. Apabila ditanya “Membazir duit syarikatkah?” dijawabnya “Bukan membazir, sebaliknya sedang menghubungkan silaturrahim”. Alangkah sopannya dia menyalah-gunakan kemudahan itu, bahkan ditambahkan lagi dengan acara bercerita tentang hal-hal sulit. Jadilah sesi gosip dan mengumpat. Astaghfirullah!

Ada orang yang suka bekerja di luar, membuat hal di sana dan di sini. Kalau boleh mahu kursus di tempat jauh-jauh. Mahu naik kapal terbang dan mahu guna kenderaan awam. Ada pula yang kerja hari minggu, semata-mata mahu membuat tuntutan. Bekerja sekejap, tuntutan sampai separuh ribu? Bila ditanya “Kenapa claim banyak sangat?” dijawabnya “Semua barang sudah mahal bos”. Baguslah, kalau semua jadi cerdik dan bijak sebegini. Cukup masa, syarikat boleh gulung tikar.

Ada juga yang berkuasa, tidak kira kuasa kecil atau kuasa besar. Menggunakan wang dengan sewenang-wenangnya. Berbelanja itu dan ini, membeli kereta dan barang-barang mahal. Memberi bonus dan elaun lebih, sedangkan hutang tidak dibayar. Berbelanja untuk bermewah-mewah, yang wajib tidak diselesaikan. Apabila ditanya “Kenapa begitu dermawan sampai beri bonus berganda?” dijawabnya “Saja bagi insentif lebih, sebab kasihan tengok pekerja bekerja dengan sungguh-sungguh”. Sungguh berhemah dia berbelanja untuk kakitangan sekalipun hutang semakin terbeban. Silap haribulan, semua orang akan kehilangan kerja apabila syarikat sudah lingkup. La haula wala quwwata illa bilah!

Tetapi, tidak semuanya begitu. Ada yang sentiasa memberi walaupun tidak diminta. Ada yang sentiasa menyumbang walaupun tiada siapapun tahu. Ada yang mengutamakan yang wajib daripada yang harus. Dan mereka adalah orang-orang yang memahami dosa dan pahala. Dan tidak ramai orang yang benar-benar mengerti soal dosa dan pahala.

Ramai yang ‘bercerita’ dan ramai yang ‘berjenaka’ apabila disebut syurga dan neraka. Tidak ramai yang ‘percaya’ dan ‘yakin’ dengan kebenaran hari qiamat. Sebab apa? Sebab ramai yang tidak menjauhi dosa dan mengejar pahala. Seolah-olah dosa dan pahala itu tiada harga di sisi mereka.

Cuma, jangan pernah kita lupa. Apabila maut sudah menjemput, kita ditanam dan kemudian dibangkitkan. Ketika itu, tiada guna lagi teguran, nasihat atau penyesalan. Jika mahu ditegur, tegurlah di dunia. Jika mahu dinasihati, nasihatilah di dunia. Jika mahu diperbaiki, baikilah di dunia. Jangan tangguh-tangguh dan jangan sampai terlambat. Kelak, apabila masing-masing berjalan menuju ke syurga…risau, kita dihumban ke neraka. Na’uzubillah!

PERBADANAN KEMAJUAN IKTISAD NEGERI KELANTAN

Tingkat 4-11, Bangunan PKINK, Jalan Tengku Maharani, Peti Surat 142, 15710, Kota Bharu Kelantan.

Tel : 09-7414141
Fax : 09-7414140
Web: www.pkink.gov.my
Email: [email protected]
Borang Maklumbalas: Klik Sini

Kaunter Pelawat

Today348
Yesterday946
This week7678
This month348
Total1281322

2024-12-01

Pautan Luar

Jata Negara 50x50           mampu 50x50           JPA 50x50
 Jata Kelantan 50x50      mdec 50x50     spa 50x50
 spr 50x50      hrmis 50x50      

Menu Offcanvas