KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN MERASMIKAN KEDAI USAHAWAN PKINK
KOTA BHARU, 28 Jun - Pembangunan usahawan tempatan di antara peranan utama yang dimainkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan hampir RM140,000 telah dibelanjakan bagi membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sejak tahun 2020. Semalam, YABrs Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Tuan Haji Ab Aziz Yunus telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Kedai Syafiq's Cake Confessions di Bangunan KBCP, Kota Bharu.
En Mohd Syafiq Mohd Hasnan merupakan pengasas Kedai Kek Syafiq's Cake Confessions. Pada tahun 2018, beliau mendirikan sebuah syarikat (enterprise) bernama Shafiq Artis Pastry. Kemudian, beliau telah mendapat bantuan peralatan dari PKINK berbentuk Double Decker Oven dan 5kg Mixerpada tahun 2020. Kini, pendapatan beliau mencecah RM15,000 sebulan.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Ab Aziz merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemilik Syafiq's Cake Confessions itu dan mendoakan keberkatan dan kerahmatan dalam setiap kejayaan yang diperolehi di masa akan datang. En Mohd Syafiq merupakan antara usahawan yang berjaya dan cemerlang di bawah bimbingan Bahagian Usahawan, IKS dan Perhubungan Antarabangsa PKINK yang diketuai oleh YM Tuan Muhammad Faizal Tuan Sulaiman.
Turut hadir, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, En Ahmad Nazri Haji Ismail; Pengurus-pengurus Kanan serta Pengurus-pengurus Bahagian Kumpulan.