YAB MENTERI BESAR KELANTAN RASMIKAN PEMBUKAAN KALA SENTRAL PKINK
KOTA BHARU, 7 Feb – YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato‘ Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan telah menyempurnakan perasmian KALA Sentral bertempat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu semalam.
Majlis tersebut merupakan acara pembukaan rasmi KALA Sentral sebagai Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Tempatan yang telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Bertemakan Partneur is Entrepreneur, KALA Sentral telah menjemput para usahawan tempatan untuk mengambil peluang memasarkan produk mereka di KALA Sentral yang menyediakan premis pemasaran secara percuma.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa tekun dan komited membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perusahaan mereka dengan menyediakan lebih RM2.5 juta setahun untuk Program Usahawan Berdikari. Antara lainnya adalah, KALA Sentral yang ditubuhkan sebagai pelengkap kepada program-program keusahawanan yang telah dijalankan sebelum ini.
Gimik pelancaran telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan dengan membuat imbasan QR Code yang memaparkan montaj pengenalan KALA Sentral.
Berucap dalam majlis yang sama, YB Dato’ Haji Hanifa Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan berkata Pembangunan Usahawan merupakan antara skop utama dalam Mendayaupayakan Usahawan di bawah strategi Memperkasakan Bahagian Pembangunan Usahawan Negeri melalui Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan (MPUNK) dan One Stop Centre Usahawan Kelantan (KALA Sentral) yang diperuntukkan RM1.1 juta oleh kerajaan negeri untuk dibangunkan.
Turut Hadir YB Dato' Haji Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan; YB. Dr. Haji Izani Husin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan; YB Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar dan YB Dato' Hajah Mumtaz Md Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita.
YABrs Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK mewakili Pengurusan Kumpulan PKINK mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang hadir termasuk pihak Ahli-Ahli Yang Berhormat, Lembaga Pengarah PKINK, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, wakil-wakil NGO keusahawanan dan semua yang terlibat menjayakan majlis ini.