Accessibility Tools

Skip to main content

PKB METERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DENGAN UUM

SINTOK, KEDAH – YABrs Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) turut sama hadir ke Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Syarikat Anak PKINK iaitu Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bertempat di UUM pada hari ini, 21 Disember 2021.

Majlis yang berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, UUM itu merupakan permulaan kerjasama erat di antara PKB dan UUM di mana UUM akan menawarkan kursus jangka pendek kepada masyarakat yang berminat untuk mendalami ilmu mengenai emas dan perniagaan ar-rahn.

Majlis tandatangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PKB, YB Dato’ Mohd Amar bin Abdullah, manakala UUM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah PKB, Pengurusan UUM serta PKB.

YB Dato’ Mohd Amar berharap kolaborasi ini dapat membangunkan dan menyediakan modal insan yang mahir dalam industri ar-rahn khususnya masyarakat yang “celik emas” di samping dapat membekalkan tenaga mahir dalam perniagaan emas dan ar-rahn. Di pihak PKB, YB Dato’ Mohd Amar mengharapkan pengiktirafan atau akreditasi di peringkat yang lebih tinggi ini dapat menonjolkan imej PKB sebagai penyedia pajak gadai Islam yang terulung di Malaysia.

Jelas beliau lagi, kolaborasi ini bakal membuka peluang perniagaan kepada industri-industri sokongan yang lain seperti perkhidmatan audit, takaful, syarikat-syarikat keselamatan dan lain-lain lagi.