Accessibility Tools

Skip to main content

KELANTAN KELUARKAN PRODUK BERAS WANGI TEMPATAN

PASIR PUTEH, 5 April – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Dato’ Haji Che Abdullah bin Mat Nawi telah melancarkan Produk Beras Sida Wangi Tempatan Keluaran Negeri Kelantan di Pusat Belian Padi, Jelapang Timur Enterprise, Lot 2154, Kg Banir Belikong, Pasir Puteh, Kelantan.

Program yang serba ringkas ini bertujuan untuk memartabatkan kepentingan petani-petani melalui promosi produk Beras Sida Wangi Tempatan agar diangkat sebagai Ikon Produk Premium bagi Negeri Kelantan. Dengan kerjasama di antara Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Syarikat Kumpulan Mihoda (MIHODA) dari negeri Kedah, telah dirancang pengeluaran produk khas dihasilkan negeri Kelantan melalui tanaman beras wangi tempatan oleh petani-petani dari Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan.

Di samping itu, YB Dato’ haji Che Abdullah bin Mat Nawi turut merasmikan Pusat Belian Padi yang akan diuruskan oleh syarikat anak Kumpulan Mihoda, Jelapang Jaya Enterprise. “Tapak ini akan diwujudkan Pusat Belian Padi bagi tujuan memudahkan petani-petani pesawah berdekatan membuat jualan terus ke sini” ujar YB Dato’ dalam ucapan beliau.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Yang Berhormat Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri Jelawat, Yang Berhormat Haji Abdul Aziz bin Kadir; Ketua Jajahan Pasir Puteh, Yang Amat Berusaha Tuan Haji Abdul Fattah bin Hasbullah; Pengarah Urusan Kumpulan MIHODA, Yang Berbahagia Dato Paduka Haji Mohd Ismail bin Haji Othman.