SYARIKAT LADANG SUNGAI TERAH SDN BHD TERIMA PENARAFAN LIMA BINTANG BAGI TAHUN 2019
KOTA BHARU, 6 April – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah mengadakan Majlis Anugerah Penarafan Bintang dan Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 di Bilik Operasi, Tingkat 10, Bangunan PKINK. Majlis ini dengan tujuan bagi memberi penghargaan kepada anggota PKINK dan anggota Syarikat Anak serta Syarikat Anak PKINK yang telah mencapai prestasi yang tinggi dalam gerak kerja sepanjang tahun 2019.
Majlis yang pada asalnya dirancang diadakan pada tahun lepas telah ditangguhkan beberapa kali berikutan kekangan pandemik COVID-19. Walaupun begitu, bagi menghargai kecemerlangan anggota Kumpulan PKINK majlis pada kali ini terus diadakan secara tertutup dan melibatkan kehadiran yang terhad dan dalam suasana Prosedur Operasi Standard yang amat ketat bagi mengekang penularan COVID-19.
Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd telah berjaya mendapat Penarafan Lima Bintang bagi tahun 2019. Manakala Kelstone Sdn Bhd yang berperanan membangunkan industri berasaskan mineral telah berjaya mendapat Penarafan Empat Bintang. Syarikat yang bertanggungjawab menguruskan menara-menara telekomunikasi di negeri ini, Infra Quest Sdn Bhd pula berjaya mendapat Penarafan Tiga Bintang bagi tahun 2019.
Selain itu, seramai 32 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang terdiri daripada 11 orang anggota PKINK dan 21 orang anggota Syarikat-syarikat Anak masing-masing membawa pulang wang tunai serta sijil atas prestasi kerja yang tinggi sepanjang tahun 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Haji Ab Aziz bin Yunus berkata “Pengiktirafan ini diberikan bagi memberi motivasi kepada anggota agar dapat meningkatkan lagi mutu dan kecekapan kerja. Yang belum dapat anugerah, bukan bermakna anda tidak cemerlang, tetapi ia memberi peluang untuk perbaiki dan tingkatkan diri untuk tahun-tahun yang akan datang.”
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Hal Ehwal Korporat), Haji Nik Kamil Amirah bin Nik Ab Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan & Pembangunan), Haji Mohamad Nasriff bin Daud; Pengurus-pengurus Kanan Kumpulan dan Pengurus-pengurus Kumpulan.