AUDIT PEMBUDAYAAN UMI DI PKINK 2021
KOTA BHARU, 8 Mac – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah menjalani audit pelaksanaan pembudayaan Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) bagi tahun 2021 oleh panel audit dari Jawatankuasa Audit Pembudayaan UMI Kerajaan Negeri Kelantan yang terdiri dari pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Pejabat Mufti Negeri Kelantan.
Aktiviti Pembudayaan UMI adalah tidak asing di PKINK kerana sejak dari tahun 2000 PKINK telah terlibat secara langsung dalam membentuk budaya kerja cemerlang melalui Program Kurikulum Pembangunan Insan (KPI) Kumpulan PKINK yang telah diterjemahkan menjadi buku ‘ Budaya Kerja Cemerlang Melalui Ubudiyyah, Masuliyyah & Itqan’.
Bermula pada 18 Ogos 2020 sehingga kini PKINK telah melaksanakan Program Kuliah Pengukuhan Pembudayaan UMI setiap hari Khamis untuk kakitangan PKINK. Selain itu, PKINK telah meneruskan aktiviti bacaan zikir pagi, bacaan doa sebelum mulakan tugas, kelas pengajian Al Quran, program solat dhuha berjemaah dan lain-lain.
Pengauditan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas antara juruaudit dan Pengurusan Tertinggi PKINK yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Haji Ab Aziz bin Yunus diikuti pembentangan ringkas berhubung pelaksanaan pembudayaan UMI di PKINK oleh Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Encik Ahmad Nazri bin Haji Ismail kemudian diteruskan dengan penjelasan perkara-perkara yang akan diaudit oleh Ketua Juruaudit iaitu Penolong Pengarah Kanan (Khidmat Nasihat) JAHEAIK, Ustazah Rohani binti Kadir.
Sesi audit turut melibatkan semua peringkat di PKINK yang mana juruaudit membuat lawatan ke semua bahagian dan berjumpa dengan semua pengurus bahagian sambil menemuramah anggota secara rawak bagi menguji kefahaman anggota berkenaan pembudayaan UMI dalam urusan kerja seharian. Para anggota turut diuji bacaan surah Al Fatihah secara praktikal dan disoal tentang pengetahuan Agama Islam bagi mengenalpasti tahap penghayatan Islam di sini. Sesi berakhir mesyuarat penutupan yang diadakan dengan kehadiran Ketua Pegawai EKsekutif Kumpulan PKINK dan Pengurusan Tertinggi PKINK dimana juruaudit membuat rumusan di atas penemuan dan dapatan hasil dari audit yang dibuat.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Hal Ehwal Korporat), Haji Nik Kamil Amirah bin Nik Ab Rahman; Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Encik Ahmad Nazri bin Haji Ismail dan Pengurus Audit Dalaman, Haji Asmadi bin Ab Rahman.