PROGRAM TAZKIRAH, SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN BERSAMA TIMBALAN MUFTI KELANTAN
KOTA BHARU, 11 Jan – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah mengadakan Program Tazkirah, Solat Hajat Dan Bacaan Yasin Anggota-anggota Kumpulan Pengurusan & Profesional PKINK bersama YB Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Bin Haji Nik Mohamad, Timbalan Mufti Negeri Kelantan sempena tahun baharu 2021 pada hari ini.
Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas mengupas intipati dan hikmah yang terdapat pada surah Yasin. Sesungguhnya terdapat banyak keberkatan di dalam surah ini. YB SF Dato’ berpesan bahawasanya surah ini turut menegaskan larangan membenarkan kesombongan dan kedegilan diri membelenggu jiwa manusia daripada tunduk mematuhi kebenaran. Tambahan pula, apabila Allah SWT menghendaki sesuatu, hanya dengan berfirman “Jadilah engkau!”, maka terjadilah sesuatu itu.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Haji Ab Aziz Bin Yunus; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Hal Ehwal Korporat), Haji Nik Kamil Amirah Bin Nik Ab Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan & Pembangunan), Haji Mohamad Nasriff Bin Daud; Pengurus-pengurus Kanan Bahagian Kumpulan dan Pengurus-pengurus Bahagian Kumpulan.