Accessibility Tools

Skip to main content

KULIAH PEMBUDAYAAN UMI SIRI KE-5 TAHUN 2020

KOTA BHARU, 31 Dis – Warga Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pejabat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan hari ini berpeluang hadir ke Kuliah Pembudayaan Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan (Dakwah & Tarbiah) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Al-Fadhil Ustaz Mohd Hafiz Bin Mat Sulaiman di Surau Raudhatul Iman, Tingkat 5, Bangunan PKINK pada hari ini.

Kuliah pada hari ini membincangkan tentang fiqh jenayah. Undang-Undang Islam membahagikan jenayah kepada tiga pembahagian utama berasaskan pada hukuman yang dikuatkuasakan iaitu hudud, qisas dan takzir.  Al-Fadhil Ustaz turut menjelaskan bahawa pembahagian Maqasid Syariah dari sudut kebaikan manusia terbahagi kepada tiga, iaitu Dharuriyah, Hajiyyah dan Tahsiniyyah.

Dharuriyah merupakan perkara yang manusia perlukan dan bergantung padanya yang terbahagi kepada lima asas utama iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Hajiyyah merupakan perkara yang diperlukan oleh manusia bagi memudahkan dan menghilangkan kesukaran seperti sistem perundangan, pentadbiran, dan ekonomi. Tahsiniyyah pula merupakan perkara yang menyempurnakan dan mencantikkan urusan manusia seperti aktiviti kempen kesedaran yang menggalakan pelaksanaan sistem perundangan bagi memelihara Maqasid Syariah.

Kuliah ini turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Rasmi PKINK. Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan & Pembangunan) PKINK, Haji Mohamad Nasriff Bin Daud; Pengurus-pengurus Kanan dan Pengurus-pengurus Bahagian PKINK.