Accessibility Tools

Skip to main content

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN USAHASAMA DI ANTARA DAMAI DAN MTSB

PASIR MAS, 28 Dis - Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Syarikat Darulnaim Agro Management Industries (DAMAI) Sdn. Bhd. dan Syarikat Maju Temir Sdn. Bhd. (MTSB) telah diadakan di Ibu Pejabat DAMAI, Gual Periok, Mukim Apam, Pasir Mas pada hari ini. Perjanjian Usahasama ini dimeterai bagi melaksanakan Projek Penanaman Durian Kunyit D197 di Ladang Rakyat Dataran Rabuah (LRDR) Mukim Relai, Gua Musang.

Maju Temir Sdn Bhd (MTSB) adalah sebuah syarikat bumiputera yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam mengusahakan ladang durian di Lembah Temir Resort, Raub Pahang. Projek usahasama ini merupakan pengembangan kepada projek tersebut dan dijangkakan akan memberi impak yang besar kepada industri pertanian di Negeri Kelantan.

Projek ini tertumpu di lot tanah seluas 86 ekar di Mukim Relai yang akan dibangunkan sebagai salah satu lokasi pengeluaran, pengumpulan, penjualan dan pemprosesan produk berasaskan durian. DAMAI optimis bahawa usahasama dengan MTSB ini dapat menyelesaikan masalah lambakan buah-buahan tempatan dan membuka peluang pekerjaan penduduk setempat serta menyediakan pelbagai peluang perniagaan lain yang boleh diterokai melalui penembusan pasaran dan pemindahan teknologi.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YBM Tuan Mohd Saripudin Bin Tuan Ismail menyaksikan perjanjian yang ditandatangani oleh En Hasnan Bin Hassan, Pengurus Besar DAMAI Sdn Bhd dan YB Hj Abd Azizz Bin Kadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah DAMAI Sdn Bhd bagi pihak DAMAI dan MTSB pula diwakili oleh En Dick Hilmi Bin Hassan, Pengarah MTSB dan En Hafizuddin Bin Che Din, Pengarah MTSB.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK merangkap Pengarah Eksekutif DAMAI, Haji Nik Kamil Amirah Bin Nik Ab Rahman ; mewakili Ketua Pegawai eksekutif Kumpulan PKINK, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan & Pembangunan) PKINK, Haji Mohamad Nasriff Bin Daud; Ahli-ahli Lembaga Pengarah DAMAI Sdn. Bhd. dan wakil Pengurusan KPKB.