Accessibility Tools

Skip to main content

PENGHUNI ATAS PALOH DITAWARKAN RUMAH MAMPU MILIK RAUDHAH PKINK

KOTA BHARU, 15 Dis – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) hari ini telah mengadakan Sesi Taklimat dan Pengundian Unit Rumah Mampu Milik Raudhah PKINK yang ditawarkan kepada baki 16 keluarga yang menghuni tanah milik PKINK di Lot PT 79, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh, Jajahan Kota Bharu, Kelantan. Kesemua 16 orang wakil keluarga tersebut telah hadir ke sesi pengundian yang diadakan di Bilik Operasi, Tingkat 10, Bangunan PKINK pada hari ini.

Pengurus Projek, Sumber Asli dan Industri Kumpulan telah mengendalikan sesi taklimat ini dan mengumumkan bahawa 16 keluarga ini ditawarkan unit-unit di Blok A, Raudhah PKINK yang bernilai RM45,000.00 satu unit. Tawaran ini adalah khusus buat 16 keluarga ini yang diberi keutamaan untuk ditawarkan rumah mampu milik tersebut. Walaubagaimanapun, penerimaan tawaran ini masih tertakluk kepada syarat-syarat pembiayaan dari institusi kewangan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan & Pembangunan); Pengurus Kanan Perundangan dan Integriti Kumpulan, dan Pengurus Koordinasi Penyelenggaraan dan Pemulihan Aset-Aset Syarikat Dorman Serta Tugas-Tugas Khas Kumpulan.