Accessibility Tools

Skip to main content

KULIAH PEMBUDAYAAN UBUDIYYAH, MASULIYYAH & ITQAN (UMI) DI PKINK

KOTA BHARU, 5 Nov –Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai agensi terawal yang mempelopori pembudayaan UMI dalam organisasi meneruskan agenda pembudayaan dan penghayatan UMI melalui Program Kuliah Pembudayaan UMI di Surau Raudhatul Iman, Tingkat 5, Bangunan PKINK pada hari ini. Kuliah tersebut telah disampaikan oleh YBhg Dato’ Dr Johari bin Mat, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG). Program ini dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha secara berjemaah.
 
Sejajar dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang diperkenalkan semasa kepimpinan Mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat pada tahun 1990, pembudayaan Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan ini memainkan peranan penting dalam membentuk pentadbiran dan melahirkan penjawat awam yang ikhlas, berintegriti dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaan.
 
YBhg Dato’ Dr Johari Bin Mat mengingatkan bahawa segala kerja yang dibuat akan dijadikan bekalan untuk menghadap Allah SWT kelak, maka sentiasalah memohon keampunan dari-Nya atas segala kesilapan dan kekurangan kita. Jadikanlah kerja yang dibuat sebagai ibadat dan sunnah dengan menyelesaikan sebarang permasalahan dengan jalan yang diredhai Allah SWT.
 
Kuliah yang diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini diadakan mengikut Prosedur Operasi Piawai (SOP) dan dihadkan kehadiran akan diteruskan di minggu-minggu yang akan datang. Anggota-anggota lain turut berpeluang untuk mendengar kuliah ini melalui pembesar suara di pejabat masing-masing.
 
Turut hadir YABrs Tn Hj Abd Aziz Bin Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK; Tn Hj Mohamad Nasriff Bin Daud @ Daud Yatimee, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK (Perancangan & Pembangunan) PKINK; Pengurus-pengurus Kanan Kumpulan PKINK; dan Pengurus-pengurus Kumpulan PKINK.