MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN DI ANTARA KERAJAAN NEGERI KELANTAN DAN KELANTAN ICT GATEWAY SDN BHD
KOTA BHARU, 4 Nov – Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. (KIGSB) sebuah syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan hari ini telah menandatangani perjanjian bersama Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan aktiviti pengauditan integriti keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi di Negeri ini.
Pengauditan ini bertujuan untuk memastikan menara dan struktur pemancar telekomunikasi sentiasa berada dalam keadaan kukuh, selamat dan sentiasa diselenggara supaya tidak menjejaskan keselamatan masyarakat setempat. Selain itu, melalui pengauditan ini juga struktur-struktur telekomunikasi yang dibina tanpa kebenaran serta kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan dapat dikenal pasti.
Disamping itu, masyarakat juga akan mendapat manfaat liputan telekomunikasi yang terbaik dan menyeluruh hasil dari pemantauan terhadap perkhidmatan syarikat telekomunikasi. Satu pengkalan data yang lengkap berkenaan liputan telekomunikasi dapat dibentuk untuk penyelarasan dan sebagai input dalam merangka pembangunan kemudahan telekomunikasi di Negeri Kelantan.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, Menteri Besar Kelantan dan YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Haji Nazran Bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd pula diwakili oleh YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Bin Dato’ Haji Hassan, Pengerusi KIGSB dan YABrs. Haji Abd Aziz Bin Yunus, Pengarah Eksekutif KIGSB.
Turut hadir YB Dato’ Ahmad Robert Bin Abd Rahim, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan; YB Dato’ Shahidani Bin Abd Aziz @ Juned, Penasihat Undang-Undang Nergeri Kelantan; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat; Pengurusan Kumpulan PKINK; Pengurus Besar KIGSB dan Pengurusan KIGSB.