PKINK DEDAHKAN ANGGOTA TENTANG KAEDAH PENGURUSAN KESELAMATAN JABATAN KERAJAAN
KOTA BHARU 10 Sept : Sebagai sebuah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri yang terlibat secara langsung dengan perancangan pembangunan dan pengurusan sumber negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terdedah dengan pelbagai ancaman keselamatan seperti espionaj, sabotaj, terorisma, gangguan golongan pelampau, penjenayah siber, dan golongan subversif.
Menyedari hakikat betapa pentingnya kesedaran dan kefahaman tentang pengurusan keselamatan perlindungan Jabatan Kerajaan, PKINK melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Kesedaran Keselamatan Perlindungan sebagai langkah untuk menambah baik tahap keselamatan di PKINK bagi mematuhi peraturan dan prosedur selaras dengan Buku Arahan Keselamatan.
Kursus selama dua hari bermula semalam yang bertempat di Bilik Operasi, Tingkat 10, Bangunan PKINK telah dikendalikan oleh Pengarah Keselamatan Kerajaan Negeri Kelantan, Haji Mohamad Foudzli Abdullah dan Mohd Razman Awang, Penolong Pegawai Keselamatan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Seramai 20 orang anggota pelbagai peringkat di PKINK termasuk dari Syarikat Kumpulan didedahkan tentang prosedur yang betul dan tepat secara jelas berkenaan pengurusan keselamatan di Jabatan Kerajaan.
Dengan adanya pendedahan dan kesedaran mengenai keselamatan perlindungan di pejabat di kalangan anggota Kumpulan PKINK akan dapat merendahkan risiko ancaman keselamatan yang akan menjatuhkan imej dan menjejaskan perjalanan fungsi PKINK serta mengelakkan PKINK dari menanggung kerugian. Anggota Kumpulan PKINK diseru supaya bertanggungjawab dalam melaksanakan aspirasi kerajaan untuk memerdekakan diri ini dari sebarangan belenggu yang berupaya mengancam keselamatan diri dan organisasi.