PKINK LAWAT KILANG KPK
DABONG 19 Ogos – Pengurusan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melakukan lawatan pemantauan korporat ke Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK) di Kampung Stong Kemubu.
Lawatan yang dikendalikan oleh Bahagian Perancangan Korporat ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus. Lawatan ini merupakan salah satu dari siri lawatan ke anak syarikat Kumpulan PKINK yang diaturkan dengan tujuan untuk meninjau operasi syarikat secara dekat dan mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang permasalahan di syarikat agar dapat segera diselesaikan.
Melalui lawatan sebegini, hubungan rapat antara Pengurusan Perbadanan dengan Syarikat Kumpulan PKINK dapat dieratkan bagi membentuk sebuah pasukan kerja yang mantap.
Rombongan diberi taklimat berkaitan pengoperasian kilang oleh Pengurus Besar KPK, Nor Azuwan Saleh dan Pengurus Kanan KPK, Che Iazmi Che Sof.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan dan Pembangunan) PKINK, Mohamad Nasriff Daud, Pengurus-pengurus Kanan Bahagian Kumpulan PKINK dan Pengurusan KPK.