Accessibility Tools

Skip to main content

PROGRAM DERMA DARAH MERDEKA 2020

KOTA BHARU, 26 Ogos 2020 – Hotel Al Ansar dan Unit Tabung Darah, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bekerjasama dengan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) Negeri Kelantan menganjurkan Program Derma Darah Merdeka 2020 di Dewan Al-Ansari, Hotel Al Ansar, Kota Bharu. Program ini diadakan bersempena Hari Kebangsaan yang ke -63 yang bakal menjelang.

Pegawai Perubatan (HRPZII) Dr. Nur Hidayah Bakri menyifatkan program kerjasama ini adalah satu langkah yang baik untuk menggalakan masyarakat Kelantan tampil menderma darah dan memupuk kesedaran tentang kepentingan masyarakat membantu para pesakit yang memerlukan transfusi darah.

“Program pada hari ini disertai oleh orang awam dan penjawat awam di sekitar yang tampil menderma darah. Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir membantu kami mengatasi masalah kekurangan bekalan darah” jelasnya. Sebanyak 88 pint darah berjaya dikumpulkan pada hari ini.

Pengerusi (MYBHA) Kelantan, Wan Fauziah Wan Mamat menjelaskan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin amat bermakna kerana ia amat bertepatan dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat yang prihatin yang dapat dizahirkan dengan kesanggupan untuk meluangkan masa untuk hadir menderma darah.