KURSUS TRAINING OF TRAINERS GURU PEMBIMBING PROGRAM TUNAS NIAGA (PROTUNe) 2020
Alor Setar - Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui Bahagian Usahawan, IKS & Perhubungan Antarabangsa telah mengadakan kursus Training of Trainers kepada guru pembimbing Program Tunas Niaga (PROTUNe) pada 23-27 Julai 2020 bertempat di The Jerai Hotel, Alor Setar, Kedah.
Kursus ini melibatkan 40 buah sekolah yang terdiri dari 19 buah sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) dan 21 buah sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada guru pembimbing berkenaan penubuhan syarikat PROTUNe bagi tahun 2020.
Kursus ini telah dikendalikan oleh En Hasmadi bin Ibrahim dari syarikat Exotic Business Development selaku penceramah. Guru-guru turut dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah yang merupakan salah satu sekolah terbaik PROTUNe Negeri Kedah. Lawatan ini telah diaturkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Selain memberi pendedahan, lawatan ke sekolah ini juga bertujuan bagi menentukan penanda aras yang perlu disasarkan. Sekolah tersebut juga telah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan yang mana hasil lawatan ini sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru membuat penambahbaikan di sekolah masing-masing.