Accessibility Tools

Skip to main content

AN NISA’ Terima Sumbangan 100 Pelindung Muka

KOTA BHARU 5 April : Walaupun Pusat Perubatan An Nisa’ (An Nisa’) tidak terlibat secara langsung dengan pengendalian kes COVID-19, langkah berjaga-jaga serta pencegahan tetap diambil dan menjadi keutamaan kakitangan bertugas dalam menguruskan proses bersalin dan perkhidmatan pembedahan di pusat perubatan ini.

Berikutan bekalan pelindung muka adalah terhad pada ketika ini. Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan (BSMM) tampil menyumbangkan 100 unit pelindung muka yang dibuat khas untuk kegunaan kakitangan pusat perubatan ini. Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Pengerusi BSMM Kelantan, Mohd Rozi Mohd Noor, kepada Pegawai Pengawal An Nisa’, Azirin Riffin, di Pusat Perubatan An Nisa’ di sini hari ini.

Mohd Rozi berkata, sejak awal Mac, pihaknya dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertungkus lumus menyiapkan 1,500 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sehari untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

Katanya, peralatan tersebut merangkumi PPE Suit, 3D Face Shield Visor dan cecair pembasmi kuman.

“Walaupun tumpuan agihan diberikan kepada hospital yang mengendalikan kes COVID-19, namun kita juga mengedarkan pelindung muka kepada pusat perubatan milik anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Kelantan iaitu An Nisa’ serta klinik kesihatan kerajaan dan swasta di seluruh Kelantan.

“Inisiatif ini adalah sebagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk petugas kesihatan yang berisiko terdedah kepada wabak semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Turut hadir, Ketua Jururawat An Nisa’, Ashikin Abdullah dan Penyelia pemasaran An Nisa’, Noor Farizan Ariffin.

Sementara itu, Azirin Riffin berkata, walaupun An Nisa’ dikenali sebagai hospital bersalin, namun aspek keselamatan dan usaha mencegah penularan jangkitan wabak Covid-19 di kalangan pesakit dan pelawat turut diutamakan.

“Walaupun kami hanya sebuah hospital bersalin, namun keperluan PPE juga diperlukan untuk melindungi diri daripada risiko selain untuk memenuhi matlamat kesihatan dan keselamatan itu.

“Sumbangan ini juga mencerminkan hubungan antara An Nisa’ dan BSMM Kelantan sangat erat dan signifikan dalam memberi perkhidmatan berkaitan kesihatan dan keselamatan,” katanya.