Accessibility Tools

Skip to main content

PKINK BANTU BSMM KELANTAN MENYEDIAKAN SET LENGKAP PPE

KOTA BHARU 1 April: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) memberi sumbangan kewangan kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan (BSMM) bagi menyediakan set lengkap Peralatan Perlindungan Diri (PPE) termasuk pelindung muka untuk keperluan petugas barisan hadapan dalam usaha mengurangkan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata sumbangan kewangan ini untuk membantu pihak BSMM yang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan set PPE dan pelindung muka yang akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan.

“Sumbangan ini adalah sebagai satu sumbangan ikhlas yang dilaksanakan oleh PKINK untuk membantu menangani wabak tersebut,” katanya.

Beliau berkata usaha ini adalah sebahagian bantuan yang di sampaikan untuk dikongsi dengan semua pihak  dan rakyat Negeri Kelantan.

“Sehingga kini pelbagai bantuan dan program telah kita usahakan setiap tahun untuk berkongsi keuntungan bersama rakyat,” katanya.

Sumbangan itu diserahkan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan) Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal selaku penasihat BSMM Kelantan, di Pejabat BSMM Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Noor Azizi Ismail, Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PKINK, Ahmad Nazri Ismail, Naib Pengerusi BSMM Kelantan, Mohd Rozi Mohd Noor dan Ketua Projek PPE Suit, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir.

Sementara itu, Tengku Mohamed Faziharudean menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PKINK yang banyak membantu dari aspek penyaluran dana serta peruntukan untuk membekalkan bahan-bahan asas untuk menghasilkan PPE dan pelindung muka.

“Sesungguhnya kerjasama di antara badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 ini amat signifikan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan yang bertugas menentang ancaman wabak ini terjaga,” katanya.

Orang ramai serta agensi yang ingin membantu dalam usaha yang efektif ini boleh menyalurkan bantuan dari segi bekalan peralatan jahitan ataupun bantuan kewangan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 03010000155713 atas nama Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Kelantan.